Senin, 18 Maret 2013

Tinta Citra: Dosa bapa haruan tidak boleh dimaaf Oleh Fadzlena Jafar


      BERITA mengenai seorang lelaki yang merogol anaknya berusia tiga tahun, Jumaat lalu pasti menarik perhatian ramai. Bukan sekali, sebaliknya dua kali pada tarikh yang berbeza. Malah, sebelum itu beliau pernah dipenjarakan selama lima tahun kerana cuba merogol kakak mangsa yang juga anaknya.

     Ada kalanya hati tertanya, kenapalah masih ada bapa yang sanggup melakukan perkara terkutuk itu terhadap anaknya sendiri? Lebih-lebih lagi apabila memikirkan mangsa hanya berusia tiga tahun, sedangkan isterinya masih ada. Apakah keseronokan yang dirasai apabila merogol kanak-kanak kecil? Tidakkah lelaki berkenaan simpati melihat si kecil menangis kesakitan ketika kejadian sebagaimana yang dilaporkan dalam kes berkenaan.

     Malah, ketika mendengar hukuman yang dijatuhkan, si bapa itu dikatakan tersenyum seolah-olah tidak kesal dengan perlakuannya. Mungkin baginya hukuman penjara selama 36 tahun dan 16 sebatan yang dikenakan tidak membawa apa-apa erti.

     Beberapa teman yang membaca berita berkenaan meluahkan kemarahan apabila mendapati keluarga terutama isterinya masih membenarkan suami durjana itu tinggal bersama mereka selepas kejadian pertama dulu. Tidakkah mereka curiga dengan si suami yang pernah dipenjarakan selepas cuba merogol anaknya dulu.

    Persoalan sama ada wajar atau tidak penjenayah yang pernah disabitkan bersalah kerana merogol anaknya dibenarkan kembali hidup bersama keluarganya, hangat diperbincangkan tidak lama dulu. Antara isu yang diketengahkan, termasuk kebimbangan bahawa pesalah itu akan kembali bersemuka dengan mangsa yang pernah dinodainya, sekali gus menimbulkan keresahan kepada mangsa.

     Malah, ada juga yang melahirkan kebimbangan lelaki itu mungkin kembali melakukan perbuatan lamanya. Tetapi, dalam kebanyakan kes mangsa pula yang terus menjadi mangsa apabila ditempatkan di rumah pemulihan dan dipisahkan daripada keluarga seolah-olah mereka yang bersalah. Secara tidak langsung, mangsa akan berpendapat beliaulah yang bersalah dalam kes berkenaan.

    Walaupun ramai yang bersetuju pesalah tidak seharusnya dibenarkan kembali hidup bersama mangsa, ada juga pihak tertentu yang berpendapat hukuman penjara dan sebatan sudah mampu menginsafkan seseorang itu. Tetapi, dalam beberapa kejadian, termasuk yang dilaporkan di luar negara, perkara sebaliknya berlaku.

   Bak kata orang, sekali tersilap langkah akan selamanya begitu, terutama membabitkan jenayah seksual. Saya tidak nafikan mungkin ada yang benar-benar insaf terhadap jenayah dilakukan, namun berdasarkan kejadian yang berlaku, termasuk berita terbaru itu sukar bagi seseorang yang pernah melakukan jenayah seksual untuk melupakan perbuatannya.

   Hasutan syaitan dan ditambah iman yang lemah menyebabkan sesiapa saja boleh mengulangi perbuatan lampaunya. Beberapa bulan lalu, saya ada menulis mengenai perkara ini dalam ruangan yang sama tanpa menyangkakan tulisan berkenaan mendapat maklum balas yang agak hangat juga.

   Ramai lelaki yang tidak bersetuju kerana menganggap saya berat sebelah dan hanya menyalahkan lelaki. Malah, ada pengirim e-mel yang terang-terangan menyalahkan wanita yang dikatakan punca kejadian rogol berlaku. Penampilan seksi dikatakan menaikkan nafsu lelaki sehingga menyebabkan mereka sanggup merogol.

   Memetik tulisan seorang pengirim, perogol memilih kanak-kanak kecil sebagai mangsa kerana itulah cara paling mudah mendapatkan seks memandangkan si kecil tidak tahu apa yang dilakukan itu satu kesalahan. Begitu rapuh alasannya.

   Fikirlah secara rasional. Kenapa kanak-kanak kecil dijadikan mangsa sedangkan perogol yang juga bapanya masih mempunyai isteri? Apa bezanya isteri dan anak berkenaan sehingga mereka memilih untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan si kecil. Bukankah sebagai isteri, beliau mampu melakukan hubungan yang halal? Jawapannya, mudah saja. Si bapa haruan sudah berjaya dihasut syaitan.

    Minggu ini, ruangan Citra membicarakan beberapa perkara yang menjadi isu hangat, termasuk kisah mat rempit. Di sana-sini boleh dikatakan semua orang membicarakan kisah mat rempit yang dikatakan banyak menimbulkan onar sejak kebelakangan ini sehinggakan sesiapa yang menaiki motosikal dilabel mat rempit.

   Meskipun pada dasarnya mat rempit itu dilihat sebagai negatif, ada juga yang memuja mereka, terutama anak gadis hari ini. Kenapa ya? Nor Affizar Ibrahim mempunyai jawapannya.

   Jika anda ingin memenangi syampu Rejoice Fruity secara percuma, jangan lupa dapatkan Berita Harian esok. Hanya dengan menjawab dua soalan mudah dalam Peraduan Citra Cantik anda berpeluang membawa balik satu syampu berkenaan.

    Personaliti minggu ini pula ialah Datuk Tom Abang Saufi, pereka fesyen yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepadanya seharusnya menjadi pembakar semangat dalam industri rekaan fesyen, sekali gus mengiktiraf sumbangan fesyen kepada negara.

    Meskipun sebelum ini Datuk Jimmy Choo sudah menerima anugerah berkenaan, kejayaan Tom itu dilihat lebih manis memandangkan beliau mencipta nama bermula pada persada fesyen tempatan. Tahniah kepada Tom, semoga melakar lebih banyak kejayaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar